• Close
Loading...

Troli anda kosong pada masa ini


Subtotal :

RM 0.00
Tax included and shipping calculated at checkout

Hijrah Selangor merupakan instrumen strategik Kerajaan Negeri Selangor dalam memperluas golongan kelas menengah dengan memperkukuh ekonomi rakyat melalui pembiayaan mikro. Bernaung di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Hijrah Selangor kini berperanan sebagai pemacu utama ekosistem keusahawanan digital yang inklusif, mampan dan berdaya saing.

Selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Hijrah Selangor juga berfungsi sebagai platform pembangunan kapasiti usahawan yang mendokong agenda ekonomi MADANI dengan menjana peluang ekonomi baharu, mengurangkan jurang pendapatan dan membantu meningkatkan taraf hidup.

Sejak 2015, Hijrah Selangor telah menyalurkan 93,500 bilangan pembiayaan kepada 62,000 usahawan di seluruh negeri Selangor dengan jumlah keseluruhan pembiayaan RM898 juta. Menjelang 2028, Hijrah Selangor mensasarkan pembiayaan terkumpul berjumlah RM1.1 bilion dan akses pembiayaan digital kepada lebih 260,000 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) di negeri Selangor, dengan fokus kepada sektor ekonomi berimpak tinggi iaitu sektor digital, agriteknologi, pelancongan dan industri Halal.

Merintis Evolusi Digital Keusahawanan Rakyat 2026

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh warga kerja Hijrah Selangor, rakan-rakan strategik serta para usahawan Hijrah Selangor yang sentiasa menjadi nadi pembangunan ekonomi negeri Selangor.

Alhamdulillah, kita telah menutup tirai tahun 2025 dengan pencapaian yang membanggakan dan kini melangkah ke tahun 2026 dengan semangat, keyakinan dan tekad yang lebih utuh. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh warga kerja Hijrah Selangor atas kejayaan merangkul anugerah Top 3 Best Islamic Microfinance of the Year 2025 (IFN Non-Banking Financial Institutions Category) seperti yang diumumkan oleh Islamic Finance News Awards 2025sebuah badan penerbitan dan rujukan kewangan Islam antarabangsa yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat global.

Pengiktirafan ini membuktikan bahawa dedikasi, profesionalisme dan komitmen berterusan warga Hijrah Selangor telah memberikan impak yang signifikan kepada rakyat dan ekonomi negeri. Kejayaan ini juga tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu kepimpinan negeri, rakan-rakan strategik serta para usahawan Hijrah Selangor yang menjadi pemacu utama ekosistem ekonomi rakyat. Jika dahulu Hijrah Selangor dikenali di peringkat tempatan, hari ini kita berdiri sebaris dengan institusi kewangan yang diiktiraf di peringkat global, membawa nama Selangor ke pentas dunia!

Tahun 2026 hadir dengan semangat baharu sebagai era permulaan dunia digital Hijrah Selangor. Pada tahun ini, kita akan menyaksikan evolusi penting dalam penyampaian perkhidmatan melalui pelancaran aplikasi DANA PLUS. Ianya adalah sebuah platform pembiayaan digital bersepadu yang dibangunkan untuk meluaskan akses pembiayaan kepada usahawan di seluruh negeri Selangor, mempercepatkan proses pembiayaan, serta memperkukuh ketelusan dan tadbir urus organisasi.

Melalui DANA PLUS, Hijrah Selangor melangkah ke arah perkhidmatan tanpa sempadan. Bayangkan seorang belia kurang upaya (OKU) di Kuala Langat yang mengusahakan perniagaan percetakan kreatif dari rumah. Walaupun pergerakan fizikalnya terbatas, namun semangatnya luar biasa. Dengan DANA PLUS, beliau kini boleh membuat permohonan pembiayaan, memuat naik dokumen sokongan, menyemak status permohonan, menandatangani perjanjian digital serta berhubung terus dengan pegawai Hijrah Selangor—segalanya melalui telefon pintar, tanpa kekangan lokasi atau pergerakan.

Selain itu, Hijrah Selangor juga akan menubuhkan Hab Inovasi Komuniti Hijrah di kawasan usahawan SURI PLUS pada tahun ini. Inisiatif ini diwujudkan bagi mendekatkan program pembangunan dan aktiviti keusahawanan kepada komuniti usahawan wanita dan luar bandar yang sebelum ini terpaksa menanggung kos perjalanan dan masa yang tinggi untuk menyertai aktiviti di bandar. Hab ini disasarkan menjadi platform bersepadu yang menyokong usahawan unserved dan underserved secara lebih inklusif dan berimpak.

Inilah makna sebenar digitalisasi bagi Hijrah Selangor. Teknologi bukan sekadar sistem, tetapi pemangkin kepada pemerkasaan ekonomi rakyat. DANA PLUS dan Hab Inovasi Komuniti Hijrah bukan sahaja memodenkan proses, malah memperluas peluang, merapatkan jurang dan memperkasa lebih ramai usahawan. Inisiatif ini mencerminkan keyakinan Hijrah Selangor terhadap masa depan ekonomi digital, selari dengan visi negeri untuk melahirkan usahawan yang berdaya tahan dalam persekitaran perniagaan moden.

Namun, transformasi organisasi bukan hanya tertumpu kepada teknologi. Tahun 2026 juga akan menjadi tahun pemantapan budaya kerja berintegriti di setiap peringkat Hijrah Selangor. Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2026-2030 Yayasan Hijrah Selangor yang dilancarkan pada 16 Disember 2025 menjadi mercu komitmen Hijrah Selangor dalam menjunjung amalan integriti, bebas rasuah dan salah guna kuasa. Kepercayaan rakyat adalah aset terbesar kita. Oleh itu, setiap tindakan mesti berlandaskan etika, profesionalisme dan amanah, agar setiap ringgit yang disalurkan menjadi rezeki yang berkat serta membawa manfaat berpanjangan kepada kita semua.

Di kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor, khususnya YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor dan YB Tuan Mohd Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, atas peruntukan sebanyak RM6.5 juta yang disalurkan kepada Hijrah Selangor melalui Belanjawan Selangor 2026. Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan atas sokongan dan kepercayaan berterusan Kerajaan Negeri Selangor terhadap usaha Hijrah Selangor dalam memperkasa ekonomi rakyat. Amanah yang diberikan ini akan kami pikul dengan penuh tanggungjawab dan diterjemahkan secara langsung kepada komuniti usahawan.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik Hijrah Selangor seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), Telekom Malaysia Berhad (TM), Etiqa Takaful Berhad, serta MyAngkasa Amanah Berhad (ANGKASA), yang sentiasa komited berganding bahu bersama Hijrah Selangor dalam menyediakan sokongan yang menyeluruh kepada para usahawan.

Selaras dengan matlamat THRIVE28 dan aspirasi Selangor untuk muncul sebagai hab ekonomi dan keusahawanan utama serantau, Hijrah Selangor akan terus memperluas pembiayaan inklusif, menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta memperkukuh peranannya sebagai nadi ekosistem keusahawanan rakyat digital Selangor yang progresif dan kompetitif.

Melangkah ke tahun 2026, marilah kita sama-sama mengangkat semangat baharu ini dengan tekad dan disiplin. Setiap langkah yang kita ambil, walaupun kecil, membawa makna besar kepada para usahawan di luar sana. Bersama, kita menyulam impian, menggerak masa hadapan, memperkasa ekonomi Madani Selangor.

DATO’ MEARIA HAMZAH

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

YAYASAN HIJRAH SELANGOR

 

image

Lorem Ipsum Dolor Sir Amet

Lorem ipsum dolor, sit amet consectetur adipisicing elit. Iure quis aut, tempore nemo delectus veritatis vel inventore exercitationem nobis, explicabo quo nulla architecto iste eveniet in autem corporis optio labore?